Kesukaran penajaan Karamjit_Singh

Pada tahun 2005, Singh menghadapi masalah mencari penaja, serta tidak berupaya untuk mengambil bahagian dalam separuh daripada lapan perlumbaan dalam Kejuaraan Rali Asia Pasifik FIA. Pasukannya sendiri tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar mekaniknya serta penyelenggaraan bagi keretanya, maka akibat ketiadaannya dalam sebegitu banyak pusingan kejuaraan tersebut, FIA mendendanya sejumlah 10,000 Euro. Singh juga tiada wang yang mencukupi untuk mengangkut keretanya balik ke Malaysia dari New Zealand, yang memerlukan kos sejumlah RM57,000. Kesukaran yang dihadapi Singh telah mendapat liputan meluas dalam beberapa akhbar utama Malaysia, yang turut dimaklumkan bahawa Singh sedang dalam proses untuk menjual apartmennya untuk membayar denda serta membawa pulang keretanya.

Apabila dimaklumkan mengenai kemungkinan menerima bantuan dari kerajaan serta orang awam, Singh menolak tawaran tersebut, dengan menyatakan bahawa beliau percaya beliau masih berupaya mencari penaja korporat yang mencukupi untuk mengelak daripada membebankan orang awam. Singh berkata beliau lebih sanggup untuk mempertimbangkan untuk berlumba untuk negara lain daripada menerima bantuan daripada orang perseorangan. Semasa dimaklumkan, Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan bertanya: "Jika Karamjit merupakan rakyat Malaysia dan telah menghasilkan kejayaan serta mengharumkan nama negara, kenapa sokongan tidak diberikan kepadanya?"

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Azalina Othman Said, juga dilaporkan berkata beliau ditugaskan untuk meneliti perkara tersebut, serta menyatakan "kami mahu mengetahui mengapa sektor swasta tidak tampil ke hadapan dan kedua, jika Karamjit mempunyai seseorang untuk menguruskannya dan mengemukakan masalahnya dalam prospektif yang betul supaya para penaja boleh tampil ke hadapan."